Thursday 31 March 2011

Ilham dari movie Julie and Julia

Assalamualaikum wbh.

Tercetus ilham untuk mempunyai blog sendiri selepas menonton rancangan Julie & Julia lakonan Amy Adams dan Meryl Streep. Lakonan Amy Adams memang berkesan apatah lagi dengan lagaknya yang bersahaja, cantik dan penuh penghayatan.

Julie & Julia mengisahkan tentang seorang setiausaha yang mula rasa bosan dengan rutin sehariannya dan inginkan sesuatu untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna. Maka, atas dorongan suami serta minat terhadap masakan, Julie memulakan cabaran terhadap dirinya sendiri iaitu memasak setiap resepi yang tertulis dalam buku masakan idolanya, Julia Child. Julie akan mengemaskini (update) blognya setiap kali beliau berjaya menyiapkan sesuatu resepi. Apa yang mengejutkan ialah, blog Julie mendapat sambutan yang di luar jangkaan.

Namun, ianya bukanlah semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi terdapat halangan di tempat kerja, hubungan dengan pasangan yang kian terganggu, tiada sokongan dari keluarga dan yang lebih hebat apabila Julia Child sendiri mengkritik usahanya yang dianggap sia-sia.

Memang menarik cerita ni. Terdapat unsur ketabahan, inspirasi, krisis keluarga dan yang paling penting bagi saya adalah setiap kejadian manusia adalah unik dan tiada persamaan. Tetapi, perbezaan itulah yang menyerlahkan kebaikan atau kelebihan seseorang.

Mungkin kerana minat (tetapi tidak fanatik) dengan Amy Adams, saya mendapat inspirasi untuk menceduk sedikit ideanya iaitu untuk membincangkan tentang masakan, petua orang lama, dan InsyaAllah nasihat/ tazkirah yang dapat dikongsi bersama.

Selamat membaca untuk posting seterusnya.