Sunday 22 March 2015

Dianugerahkan Kamu Kepada Aku

Dianugerahkan Kamu Kepada Aku.....

Mengabadikan coretan untuk tatapan mujahidin ku.

30 Januari 2004 mengubah segala-galanya. Kehadiranmu dinantikan semua. Tangisanmu ketika itu adalah nyanyian terindah. Sinar matamu bak kejora. Susuk tubuhmu sempurna, Alhamdulillah. Lalu dinamakan Ammar Husaini....Yang Memakmurkan Kebaikanku....

24 September 2005 merupakan penantian yang mendebarkan. Apakah perasaanku selepas ini. Bagaimanakah kehidupan esok lusanya. Bersediakah aku. Jelas dia lah yang menghiburkan. Mungkin tidak sama tetapi dialah yang lain dari biasa. Dirimu dinamai Muhammad Imran, cetusan dari nenda tercinta. Imran penjaga Maryam.

27 August 2012 yang mengujakan. Sekian lama penantian. Sekian lama mengharapkan. Penghibur kepada segala penghibur. Sebagaimana kekanda-kekandanya, terlalu banyak harapan untuknya. Mudah-mudahan benar, mujahid ini yang menyenangkan... AMRAN menjadi nama pilihan kekanda-kekandanya. Gabungan AMmar dan imRAN. Cantik dan sangat padan. Daripada Amran Fathi ditukar kepada Amran Faruqi.... hajat ayahandanya bersempena nama agung Umar Al-Faruq... Yang membezakan haq dan bathil...


Aku mula mengerti kenapa mereka dianugerahkan kepadaku dan kenapa tidak yang lain. Aku mula faham kenapa rahimku ini yang dipilih, tidak yang lain. Allah... berat amanah ini.... Salah didikan ku, maka seluruh keturunan akan binasa.

Adakah aku punya waktu.....
Adakan masih ada masa....

Mujahidin ini luar dari yang biasa, di mata ku...

Allah, permudahkanlah urusan ku ini
Allah, lindungilah mujahidin ku ini dari mara bahaya
Allah, berjayakanlah dunia dan akhirat mereka
Allah, tetapkanlah hati mereka keranaMu....

Mama, sentiasa ingin menjaga kamu sehingga kamu tidak dapat bayangkan apakah ciri penjagaan Mama itu.

Mama, sentiasa ingin melindungi kamu sehingga kamu tidak terfikir apakah bentuk pelindungan itu.

Mama sentiasa mengingati kamu walaupun di saat tiada perkataan Mama dalam kotak fikiranmu.

Mama sentiasa merindui kamu walaupun disaat kerinduan kamu itu bukan untuk Mama...







Thursday 28 April 2011

Sudut pandangan yang tidak kelihatan: The Blind Side

Assalamualaikum...

Berapa kalikah anda tidak perasan ada kenderaan lain yang datang dari sebelah kiri apabila anda hendak membelok ke kanan di simpang tiga? Atau pernahkah kenderaan  anda hampir bergesel dengan kenderaan lain sewaktu hendak menukar lorong, sedangkan anda sudah mengerling cermin sisi beberapa kali?  Menurut sesetengah pendapat, inilah yang dikatakan sebagai 'The Blind  Side'...

Ianya mungkin terjadi kepada kita, maksud saya, bukan hanya mengenai kenderaan, tetapi juga kehidupan kita sehari-hari. Dalam keasyikkan kita memberi fokus terhadap apa yang ada di depan mata, pasti ada perkara yang kita terlepas pandang, samada secara sengaja atau tidak perasan secara total. Apa yang mungkin berlaku adalah, perkara-perkara dalam lingkungan blind side inilah yang memberi impak samada baik atau buruk dalam kehidupan kita.

Segalanya bermula dari filem yang saya tonton, The Blind Side. Saya tidak mengatakan yang saya ini taksub kepada filem luar negara, tetapi saya tidak dapat menolak mesej yang cuba disampaikan oleh pengarahnya, John Lee Hancock yang bersifat kekeluargaan, motivasi, inspirasi, humor dan menyentuh hati.Walaupun plot ceritanya agak laju, tapi saya percaya mesej dapat disampaikan dengan baik.

Lakonan Sandra Bullock, tidak dapat dinafikan, sangat berkesan. Seolah dia membawa karakter dirinya sendiri. Tidak kekok langsung membawa watak seorang wanita mewah yang penuh karisma, disiplin, strong determination dan degil. Dengan gandingan bersama Tim McGraw, seorang yang menghormati keputusan isteri walaupun bertegas dalam diam, pasangan ini benar-benar bersependapat bahawa ada sesuatu yang berharga dalam diri individu yang mereka baru kenali di sudut blind side ini.

Malah apa yang lebih menarik adalah Big Mike/ Micheal Oher, iaitu individu yang dimaksudkan di  sudut pandangan yang tidak kelihatan itu... Mungkin dari sudut fizikal, dari sudut luaran, Big Mike adalah seorang yang biasa (atau di bawah dari paras biasa) namun, dengan skor pelindungan diri yang tinggi, Big Mike telah berjaya mengubah kehidupan sebuah keluarga.

Saya tidak bermaksud yang anda perlu memelihara seorang anak angkat untuk mengetahui the blind side anda. Anda juga tidak perlu menjadi semewah Leigh Anne Tuohy (Sandra Bullock) untuk membolehkan anda menginsafi takdir orang lain.... Tetapi.....apakah maksud blind side kepada anda? Dan apakah perkara yang berada dalam blind side itu? Atau adakah anda adalah individu yang berada dalam lingkungan blind side itu?

Renung-renungkanlah.....

Thursday 31 March 2011

Ilham dari movie Julie and Julia

Assalamualaikum wbh.

Tercetus ilham untuk mempunyai blog sendiri selepas menonton rancangan Julie & Julia lakonan Amy Adams dan Meryl Streep. Lakonan Amy Adams memang berkesan apatah lagi dengan lagaknya yang bersahaja, cantik dan penuh penghayatan.

Julie & Julia mengisahkan tentang seorang setiausaha yang mula rasa bosan dengan rutin sehariannya dan inginkan sesuatu untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna. Maka, atas dorongan suami serta minat terhadap masakan, Julie memulakan cabaran terhadap dirinya sendiri iaitu memasak setiap resepi yang tertulis dalam buku masakan idolanya, Julia Child. Julie akan mengemaskini (update) blognya setiap kali beliau berjaya menyiapkan sesuatu resepi. Apa yang mengejutkan ialah, blog Julie mendapat sambutan yang di luar jangkaan.

Namun, ianya bukanlah semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi terdapat halangan di tempat kerja, hubungan dengan pasangan yang kian terganggu, tiada sokongan dari keluarga dan yang lebih hebat apabila Julia Child sendiri mengkritik usahanya yang dianggap sia-sia.

Memang menarik cerita ni. Terdapat unsur ketabahan, inspirasi, krisis keluarga dan yang paling penting bagi saya adalah setiap kejadian manusia adalah unik dan tiada persamaan. Tetapi, perbezaan itulah yang menyerlahkan kebaikan atau kelebihan seseorang.

Mungkin kerana minat (tetapi tidak fanatik) dengan Amy Adams, saya mendapat inspirasi untuk menceduk sedikit ideanya iaitu untuk membincangkan tentang masakan, petua orang lama, dan InsyaAllah nasihat/ tazkirah yang dapat dikongsi bersama.

Selamat membaca untuk posting seterusnya.